Mata
bayi mula berkembang dalam janin sejak berumur 2 minggu lagi. Dalam tempoh
tidak sampai 4 minggu kesemua struktur penting mata sudah mula membentuk.
Sewaktu lahir saiz mata bayi adalah 75% dari saiz mata orang dewasa. Dan
sehingga umur bayi berusia 2 tahun, fungsi visual terus berkembang bersama
struktur dalaman mata.
Bayi
yang baru lahir memiliki akuiti visual kurang dari 6/60 iaitu huruf atau angka
yang paling besar pada Carta untuk Ujian Mata yang dilihat dari jarak 6 meter
(Carta Snellen). Ini bermakna bayi hanya dapat melihat objek yang besar sahaja
dan tidak dapat melihat ‘detail’ lagi. Akuiti visual akan bertambah baik
apabila bayi semakin membesar hingga ke umur 2 tahun. Walaubagaimanapun bayi
sudah boleh melihat warna semenjak lahir lagi.
Bayi yang
baru lahir pada mulanya tidak akan memberi perhatian penuh pada
persekitarannya. Walaubagaimanapun mata bayi yang baru lahir sudah boleh
mengikut lampu kecil yang digerak-gerakkan dihadapannya. Mata bayi juga kurang
sensitif pada refleks pergerakan dimana jari yang menghampiri mata tidak akan
menyebabkan bayi mengelip matanya dengan cepat. Bayi yang berusia 6 hingga 8
minggu sepatutnya sudah boleh mengikuti pergerakkan objek didepannya dan dapat
menatap atau memfokus objek dengan lebih lama.
Mata bayi
sepatutnya kelihatan simetri apabila berumur 4 bulan. Ini akan memberikan
persepsi kedalaman pada bayi dimana bayi mula belajar untuk mencapai atau
memegang botol susunya.
1 Bulan
Pada
masa dilahirkan bayi tidak tahu bagaimana menggunakan kedua-dua matanya dengan
serentak, jadi matanya akan kelihatan bergerak secara rawak. Tetapi apabila dia
berusia satu atau dua bulan dia
sudah mempelajari cara memfokus kedua-dua matanya dan akan berupaya menjejaki
objek bergerak dengan matanya ( walaupun dia mungkin sudah boleh melakukan ini
untuk jangka waktu yang pendek sejak dilahirkan ).
Suatu
barang mainan yang dialihkan di depan mukanya akan memukaunya atau kita boleh
bermain mata ke mata dengan mendekatkan muka kita ke mukanya dan menggerakkan
kepala kita dari sisi ke sisi dengan perlahan-lahan; selalunya matanya akan
terpaku pada mata kita.
2 Bulan
Bayi
mempunyai penglihatan berwarna sejak dilahirkan, tetapi terdapat kesukaran
untuk mereka membezakan warna yang hampir serupa seperti merah dan jingga. Ini
menyebabkan mereka lebih suka hitam dan putih atau warna yang berkontras
tinggi. Namun pada usia antara dua dan empat bulan, perbezaan
warna menjadi semakin jelas dan bayi mula boleh nampak perbezaan antara warna
yang hampir serupa.
Akibatnya, dia akan mula menunjukkan
kecenderungan menyukai warna asas yang terang, bentuk yang lebih kompleks dan
corak yang lebih terperinci.
4 Bulan
Sekitar waktu inilah bayi akan mendapat persepsi
dalaman yang akan membantunya menentukan jarak sesuatu benda. Dia juga sudah semakin
mahir menggunakan lengannya, jadi perkembangan visual yang baru ini datang pada
waktu yang tepat untuknya mencapai objek seperti rambut dan anting-anting
dengan lebih tepat.
5 Bulan
Pada tahap ini, bayi sudah semakin mahir melihat
objek-objek kecil dan menjejaki benda yang sedang bergerak. Dia juga mungkin
boleh mengenal sesuatu objek dengan hanya melihat sebahagian daripadanya
sahaja. Inilah asas untuk permainan sorok-sorok di masa akan datang. Kebanyakan
kanak-kanak berusia lima bulan sudah tahu membezakan warna-warna terang yang
serupa dan kini mereka akan mula nampak perbezaan yang tidak begitu ketara di
antara warna-warna pastel.
8 Bulan
Pada tahap ini penglihatan bayi yang pada mulanya
hanya lebih kurang 20/40, akan menjadi hampir seperti orang dewasa dari segi
kejelasan dan persepsi dalaman. Walaupun penglihatan jarak dekatnya lebih baik
berbanding penglihatan jarak jauh, pada usia lapan bulan penglihatannya sudah
cukup baik untuk mengenal orang dan objek merentasi bilik. Pada usia ini juga
warna matanya sudah menjadi warna sebenarnya, walaupun mungkin akan terdapat
sedikit lagi perubahan warna yang tidak ketara selepas ini.
Menjelang
usia 5-6 bulan, bayi mulai dapat melihat dengan kedua mata ( binokular ) pada
bentuk benda yang menarik perhatiannya. Setelah itu, pada usia 6-8 bulan, bayi dapat
melihat secara normal, sehingga ada koordinasi antara kedua bola matanya.
Keadaan ini akan semakin berkembang seiring dengan terjadinya koordinasi antara
mata dan tangannya. Dan pada akhirnya secara beransur-ansur penglihatan anak
bayi normal ketika dia berusia 4-5 tahun.