Thursday, 26 December 2013

:: Penyakit Mata & Cara Merawatnya Bahagian II ::


Astigmatisme
Astigmatisme disebabkan oleh kornea mata yang tidak rata dan cahaya dari objek difokuskan samada di belakang retina, di hadapan retina atau kedua-duanya sekali. Oleh itu, objek
kelihatan kabur dan herot.  Astigmatisme adalah sebuah gejala penyimpangan dalam pembentukkan  bayangan pada kanta, hal ini disebabkan oleh cacat kanta yang tidak dapat memberikan gambaran atau bayangan garis vertikal dengan horizontal secara bersamaan. Penyakit mata ini juga sering disebut mata silinder.



 
Katarak
Katarak adalah kanta mata yang lutsinar bertukar warna menjadi kuning susu dikenali sebagai katarak atau selaput mata. Biasanya berlaku pada kedua-dua belah mata, dan tahapnya berbeza bagi setiap mata. Cahaya yang memasuki mata, perlu melalui kanta untuk ke retina bagi menghasilkan imej. Akibat kekabutan kanta (disebabkan oleh katarak), imej yang terbentuk mengalami gangguan. Inilah yang menyebabkan pesakit katarak mengalami gangguan penglihatan sama ada jauh ataupun dekat. Selain gangguan penglihatan, mereka akan mengalami silau tidak kira siang atau malam, sensitif pada cahaya lampu, halos dan diplopia (penglihatan berganda) dan gangguan penglihatan warna pada peringkat yang serius. Namun,  katarak tidak menyebabkan kesakitan pada organ mata. Ia biasanya berpunca daripada peningkatan usia, trauma, diabetes mellitus, merokok, toksik seperti pengambilan steroid dan kongenital (lahir dengan katarak). Terdapat 3 jenis katarak iaitu:
1. Katarak subkapsular
2. Katarak nuklear
3. Katarak kortikal
Pesakit yang mengalami katarak subkapsular akan mengalami silau dengan cahaya lampu kenderaan di hadapan, silau dengan cahaya matahari dan mengalami gangguan penglihatan dekat.  Pesakit dengan nuklear katarak akan mengalami perubahan kuasa cermin mata (myopia). Pesakit dengan kortikal katarak mengalami silau sepanjang masa.
Katarak boleh menyebabkan kebutaan. Walaubagaimanapun, tidak semua katarak perlu dibuang. Iabergantung kepada kematangan katarak dan keperluan penglihatan pesakit. Katarak boleh dirawat dengan pembedahan.
 
 

:: Penyakit Mata & Cara Merawatnya ::



Miopia ( Rabun Jauh )
Rabun jauh memiliki titik dekat lebih kecil daripda 25 cm dan titik jauh pada jarak tertentu. Orang yang menderita rabun jauh dapat melihat dengan jelas pada jarak 25 cm, tetapi tidak dapat melihat benda-benda jauh dengan dengan jelas. Keadaan ini terjadi kerana kanta mata tidak dapat mencekung sebagaimana biasanyanya sehingga bayangan benda yang sangat jauh terbentuk di depan retina.

Rabun jauh dapat diatasi dengan menggunakan kaca mata kanta cekung. Lensa cekung akan memancarkan cahaya sebelum cahaya masuk ke mata sehingga bayangan jatuh tepat pada retina.

 
 

 
Hiperopia ( Rabun Dekat )
Rabun dekat memiliki titik dekat lebih besar daripada 25 cm dan titik jauh pada jarak tak terhingga. Oleh kerana itu, mata rabun dekat dapat melihat benda-benda dekat dengan jelas. Keadaan ini terjadi kerana kanta mata tidak dapat menjadi cembung sebagaimana biasanyanya sehingga bayangan benda yang dekat terbentuk di belakang retina tepat pada retina.
Rabun dekat dapat diatasi dengan menggunakan kaca mata kanta cembung akan mengecilkan cahaya sebelum cahaya masuk ke mata, sehingga bayangan jatuh tepat pada retina.
 
 





Presbiopia( Rabun Tua )
Pada penderita ini, daya akomodasi berkurang akibat bertambahnya usia. Oleh kerana itu, letak titik dekat mahupun titik jauh mata telah bergeser. Jadi, rabun tua ( presbiopia ) adalah penyakit mata akibat berkurangnya daya akomodasi pada usia lanjut. Titik dekat presbiopia lebih besar dari 25 cm dan titik jauh presbiopia berada pada jarak tertentu. Oleh kerana itu, penderita presbiopia tidak dapat melihat benda jauh dengan jelas dan juga tidak dapat membaca pada jarak baca normal.

Mata presbiopia dapat diatasi dengan kaca mata berkanta rangkap, untuk melihat jauh dan untuk membaca. Jenis kacamata yang berfungsi rangkap ini disebut kacamata bifocal.

 
 
 

Monday, 16 December 2013

:: Ujian Penaksiran Penglihatan ::


1.Ujian Snellan


Carta Snellan digunakan untuk menilai kejelasan penglihatan dalam kalangan para pelajar yang sudah boleh membaca. Carta ini dinamakan sempena seorang oftomologi Belanda iaitu Herman Smelled yang mencipta carta ini pada tahun 1862.
           Ujian ini adalah berdasarkan kadar ketajaman mata normal yang boleh membaca dan mengenalpasti objek yang terdapat dalam jarak 20 kaki. Jarak 20 kaki digunakan kerana sinaran cahaya yang datang dari sesuatu objek pada jarak ini adalah selari dan tidak memerlukan biasan atau dibengkokkan oleh mata untuk difokuskan kepada retina. Bagi memastikan retina fokus kepada objek yang lebih dekat daripada 20 kaki, mata harus menyesuaikan dengan  sinaran. Lebih dekat objek atau huruf, lebih banyak penyesuaian perlu dilakukan. Carta ini biasanya mempunyai sepuluh barisan dan huruf-huruf yang terdapat pada setiap barisan akan menjadi semakin kecil pada bahagian bawah.
           Prosedur untuk menjalankan ujian ini adalah dengan mengantungkan carta Snellan di dinding dan individu yang akan ditafsir perlu berdiri lebih kurang dalam jarak 20 kaki atau 6 meter di hadapan carta tersebut. Individu tersebut akan menutup sebelah mata dan membaca carta tersebut dan langkah ini diulang pada mata yang sebelah lagi. Seseorang dikatakan mempunyai ketajaman penglihatan 20/20 atau 6/6 sekiranya dia boleh membaca huruf yang terkecil terdapat dalam barisan. Seandainya ketajaman penglihatan atau visual akuiti ditulis 6/60 bermaksud seseorang hanya mampu melihat huruf yang paling besar pada carta snellen pada jarak 6 meter.
                  Selain itu, sekiranya pesakit sukar melihat huruf yang terbesar pada carta iaitu 6/60, optometris akan mendekatkan jarak ujian pada setiap 1 meter sehingga pesakit melaporkan yang dia nampak huruf yang paling besar itu. Sebagai contoh pada jarak 5 meter pesakit boleh mengenal pasti huruf yang paling besar pada carta maka ditulis sebagai 5/60. Begitulah sebaliknya sekiranya pesakit boleh melihat pada jarak 1 meter maka direkod sebagai 1/60. Hasil rekod ini penting bagi mengetahui tahap keterukan penglihatan seseorang bagi memudahkan doktor merawatnya sekiranya tahap penglihatan seperti ini tidak boleh dibantu dengan pemakaian cermin mata.

2. Ujian Katup / Cover Test



      Secara amnya, ujian ini digunakan untuk memeriksa sebaik mana mata seseorang berfungsi bersama. Semasa kita memandang objek kecil yang jaraknya agak jauh, doktor akan tutup dan membuka semula setiap mata untuk memerhatikan kekerapan mata bergerak dan memerhatikan sama ada salah satu mata menukar arah pandangan daripada objek “strabismus”.
      Strabismus atau bahasa mudahnya juling ialah keadaan otot mata yang mana menyebabkan salah satu atau kedua-dua belah mata menghadap ke dalam atau dikenali sebagai esotropia atau menghadap keluar exotropia, menghadap ke atas hypertropia atau menghadap ke bawah hypotropia.  
                “Cover test” mempunyai dua bahagian iaitu bahagian pertama ialah unilateralcover test dan bahagian yang kedua ialah alternating cover test. Pada bahagian pertama iaitu semasa unilateral cover test seseorang individu tersebut akan diminta untuk melihat objek jauh dan semasa proses ini berlaku doktor akan mengarahkan agar pesakit tersebut memakai cermin mata sekiranya mereka menggunakannya. Kemudian doktor atau pengamal perubatan akan menutup sebelah mata menggunakan “occluder”  dan memerhatikan pergerakan mata pada mata yang sebelah lagi. Sekiranya mata yang tidak ditutup bergerak untuk menfokuskan objek atau huruf yang dilihat maka pesakit tersebut mungkin menghadapi masalah juling.
                       Pada bahagian kedua iaitu semasa alternating cover test “occluder’ akan bertukar dari satu mata bagi yang lain. Pengamal perubatan akan melihat sama ada mata bergerak selepas tidak ditutup. Sekiranya mata bergerak, pesakit disyaki menghidapi phoria.

::Perkembangan Penglihatan Bayi::



      Mata bayi mula berkembang dalam janin sejak berumur 2 minggu lagi. Dalam tempoh tidak sampai 4 minggu kesemua struktur penting mata sudah mula membentuk. Sewaktu lahir saiz mata bayi adalah 75% dari saiz mata orang dewasa. Dan sehingga umur bayi berusia 2 tahun, fungsi visual terus berkembang bersama struktur dalaman mata.
      Bayi yang baru lahir memiliki akuiti visual kurang dari 6/60 iaitu huruf atau angka yang paling besar pada Carta untuk Ujian Mata yang dilihat dari jarak 6 meter (Carta Snellen). Ini bermakna bayi hanya dapat melihat objek yang besar sahaja dan tidak dapat melihat ‘detail’ lagi. Akuiti visual akan bertambah baik apabila bayi semakin membesar hingga ke umur 2 tahun. Walaubagaimanapun bayi sudah boleh melihat warna semenjak lahir lagi.
      Bayi yang baru lahir pada mulanya tidak akan memberi perhatian penuh pada persekitarannya. Walaubagaimanapun mata bayi yang baru lahir sudah boleh mengikut lampu kecil yang digerak-gerakkan dihadapannya. Mata bayi juga kurang sensitif pada refleks pergerakan dimana jari yang menghampiri mata tidak akan menyebabkan bayi mengelip matanya dengan cepat. Bayi yang berusia 6 hingga 8 minggu sepatutnya sudah boleh mengikuti pergerakkan objek didepannya dan dapat menatap atau memfokus objek dengan lebih lama.

      Mata bayi sepatutnya kelihatan simetri apabila berumur 4 bulan. Ini akan memberikan persepsi kedalaman pada bayi dimana bayi mula belajar untuk mencapai atau memegang botol susunya.

1 Bulan
      Pada masa dilahirkan bayi tidak tahu bagaimana menggunakan kedua-dua matanya dengan serentak, jadi matanya akan kelihatan bergerak secara rawak. Tetapi apabila dia berusia satu atau dua bulan dia sudah mempelajari cara memfokus kedua-dua matanya dan akan berupaya menjejaki objek bergerak dengan matanya ( walaupun dia mungkin sudah boleh melakukan ini untuk jangka waktu yang pendek sejak dilahirkan ). 
      Suatu barang mainan yang dialihkan di depan mukanya akan memukaunya atau kita boleh bermain mata ke mata dengan mendekatkan muka kita ke mukanya dan menggerakkan kepala kita dari sisi ke sisi dengan perlahan-lahan; selalunya matanya akan terpaku pada mata kita. 

2 Bulan

      Bayi mempunyai penglihatan berwarna sejak dilahirkan, tetapi terdapat kesukaran untuk mereka membezakan warna yang hampir serupa seperti merah dan jingga. Ini menyebabkan mereka lebih suka hitam dan putih atau warna yang berkontras tinggi. Namun pada usia antara dua dan empat bulan, perbezaan warna menjadi semakin jelas dan bayi mula boleh nampak perbezaan antara warna yang hampir serupa. 

      Akibatnya, dia akan mula menunjukkan kecenderungan menyukai warna asas yang terang, bentuk yang lebih kompleks dan corak yang lebih terperinci. 

4 Bulan

Sekitar waktu inilah bayi akan mendapat persepsi dalaman yang akan membantunya menentukan jarak sesuatu benda. Dia juga sudah semakin mahir menggunakan lengannya, jadi perkembangan visual yang baru ini datang pada waktu yang tepat untuknya mencapai objek seperti rambut dan anting-anting dengan lebih tepat. 

5 Bulan
      Pada tahap ini, bayi sudah semakin mahir melihat objek-objek kecil dan menjejaki benda yang sedang bergerak. Dia juga mungkin boleh mengenal sesuatu objek dengan hanya melihat sebahagian daripadanya sahaja. Inilah asas untuk permainan sorok-sorok di masa akan datang. Kebanyakan kanak-kanak berusia lima bulan sudah tahu membezakan warna-warna terang yang serupa dan kini mereka akan mula nampak perbezaan yang tidak begitu ketara di antara warna-warna pastel. 

8 Bulan

      Pada tahap ini penglihatan bayi yang pada mulanya hanya lebih kurang 20/40, akan menjadi hampir seperti orang dewasa dari segi kejelasan dan persepsi dalaman. Walaupun penglihatan jarak dekatnya lebih baik berbanding penglihatan jarak jauh, pada usia lapan bulan penglihatannya sudah cukup baik untuk mengenal orang dan objek merentasi bilik. Pada usia ini juga warna matanya sudah menjadi warna sebenarnya, walaupun mungkin akan terdapat sedikit lagi perubahan warna yang tidak ketara selepas ini.



      Menjelang usia 5-6 bulan, bayi mulai dapat melihat dengan kedua mata ( binokular ) pada bentuk benda yang menarik perhatiannya. Setelah itu, pada usia 6-8 bulan, bayi dapat melihat secara normal, sehingga ada koordinasi antara kedua bola matanya. Keadaan ini akan semakin berkembang seiring dengan terjadinya koordinasi antara mata dan tangannya. Dan pada akhirnya secara beransur-ansur penglihatan anak bayi normal ketika dia berusia 4-5 tahun.





Sunday, 15 December 2013

::Pembentukan Arca Oleh Mata::

Mata merupakan alat optik semulajadi ciptaan Allah yang sangat berharga. Diagram sederhana mata manusia adalah seperti yang diperlihatkan pada Gambar 1(a). Bahagian depan mata yang memiliki lengkung lebih tajam dan dilapisi selaput cahaya disebut kornea. Tepat di belakang kornea terdapat cairan (aquaeous humor). Cairan ini berfungsi untuk membiaskan cahaya yang masuk ke mata. Intensiti cahaya yang masuk ke mata dikawal oleh pupil, yakni celah lingkaran yang dibentuk oleh iris. Iris sendiri merupakan selaput yang selain berfungsi membentuk pupil, juga berfungsi sebagai pemberi warna pada mata (hitam, biru, atau coklat). Setelah melalui pupil, cahaya masuk ke kanta mata. Kanta mata ini berfungsi untuk membentuk bayangan nyata sehingga jatuh tepat di retina. Bayangan yang ditangkap retina bersifat nyata dan terbalik.



Gambar 1. (a) Diagram sederhana mata manusia. (b) Kanta mata membentuk bayangan nyata dan terbalik di retina.

      Bayangan ini kemudian disampaikan ke otak melalui saraf optik dan diatur sehingga manusia mendapatkan kesan melihat benda dalam keadaan tegak. Proses pembentukan bayangan pada mata diilustrasikan pada Gambar 1(b).



Gambar 2. Pada mata miopi, bayangan benda jauh jatuh di depan retina.
       Mata memiliki daya akomodasi, yakni kemampuan untuk mengubahubah jarak fokus kanta mata sehingga bayangan benda yang dilihat selalu jatuh tepat di retina. Jarak fokus kanta mata diubah dengan cara mengatur ketebalannya ( menipis atau menebal ) yang dilakukan oleh otot siliari. Daya akomodasi ini memungkinkan mata dapat melihat dengan jelas setiap benda yang dilihatnya, meskipun jaraknya berbeza di depan mata.

Akan tetapi, meskipun memiliki daya akomodasi, mata memiliki jangkauan pandang yang terbatas. Mata tidak dapat melihat benda yang terlalu dekat atau terlalu jauh. Sebagai contoh, kita tidak mampu melihat partikel debu yang masuk pada kornea mata kita atau sebaliknya, kita tidak mampu melihat dengan jelas benda yang sangat jauh. Jarak titik terdekat dari mata yang masih dapat dilihat dengan jelas disebut titik dekat, sedangkan jarak titik terjauh dari mata yang masih dapat dilihat dengan jelas disebut titik jauh. Ketika mata melihat pada titik dekatnya, mata dalam keadaan berakomodasi maksimum dan ketika mata melihat pada titik jauhnya, mata dalam keadaan tanpa akomodasi.

Berdasarkan jangkauan pandang ini, mata dibezakan menjadi mata normal ( emetropik ) dan mata cacat. Mata normal memiliki jangkauan pandang dari 25 cm panjang. Dengan kata lain, titik dekat mata normal adalah 25 cm, sedangkan titik jauhnya tidak terhingga ( sangat jauh ).  


Wednesday, 27 November 2013

ANATOMI DAN FISIOLOGI MATA



          Struktur dalam mata terdiri daripada tiga lapisan utama iaitu lapisan luar, lapisan tengah dan lapisan dalam. Pada setiap tunik ini terdapat bahagian penting yang saling berkaitan antara satu dengan yang lain.

Tunik Luar ( Lapisan Pertama )
Lapisan ini merupakan lapisan yang kuat kerana lapisan tersebut bertindak sebagai perisai kepada bola mata bagi melindunginya daripada sebarang tekanan dan benda keras yang boleh mencederakan mata. Lapisan ini juga menyediakan tempat pelekat bagi otot intrinsik yang berfungsi menggerakkan bola mata. Struktur yang terdapat pada bahagian ini ialah :

Kornea
Kornea atau dikenali juga sebagai selaput bening adalah sebahagian sklera yang terdapat pada bahagian hadapan bola mata. Kornea meliputi 1/6 bahagian sklera. Kornea juga merupakan tingkap bagi mata. Kornea adalah lapisan bening yang lut sinar berbentuk seperti kubah. Kornea membolehkan cahaya menembusinya dan mempunyai kemampuan untuk membiaskan cahaya masuk ke dalam mata. Kornea membantu untuk mendapatkan kadar penglihatan yang lebih baik dan jelas kepada individu yang tidak mengalami gangguan pada bahagian kornea tersebut. Sekiranya berlaku kerosakan yang kecil pada bahagian kornea, akan mengakibatkan gangguan penglihatan yang berat.

Sklera
Sklera adalah lapisan paling luar pada bola mata yang berwarna putih. Lapisan ini kelihatan putih akibat pembalikan cahaya yang banyak pada permukaa serat yang lut sinar. Sklera melekat longgar pada koroid oleh tisu. Selaput putih ini merupakan jaringan pelindung bola mata paling luar. 5/6 bola mata dibungkus oleh selaput putih sklera ini.

Tunik Tengah ( Lapisan Kedua )

Koroid
Koroid merupakan lapisan tengah di antara retina dan sklera. Koroid bermula dari tepi saraf optik di bahagian belakang dan bersambung ke korpus silari di bahagian depan. Lapisan koroid merupakan lapisan berpigmen yang mengandungi banyak kapilari darah dan berwarna gelap. Lapisan ini berfungsi membekalkan makanan dan oksigen kepada retina. Selain itu, lapisan ini juga berfungsi menyerap dan mengelakkan pantulan cahaya ke dalam mata. Sekiranya terdapat gangguan pada lapisan koroid, gangguan fungsi pada bahagian retina akan berlaku.

Badan Siliari
Badan siliari terdiri daripada susunan otot-otot polos yang dikawal oleh sistem saraf automatik. Badan siliari berfungsi menarik kanta melalui ligamen gantung yang bersifat elastik dan lut sinar. Tarikan ini menyebabkan bentuk kanta boleh dimodifikasikan untuk memfokuskan objek jauh dan dekat supaya dapat dilihat dengan jelas. Apabila otot pada badan siliari ini mengecil, tekanan ligamen gantung akan berkurangan dan menyebabkan kanta hanya ditarik sedikit. Sebaliknya apabila otot badan siliari mengendur, kanta akan mengembung sedikit. Ini membolehkan kanta memfokus objek yang jauh dengan lebih tepat supaya imej yang terhasil lebih jelas.

Iris
Iris merupakan bahagian yang berwarna pada mata dan dibasahi oleh akueus humor pada kedua-dua belah permukaannya. Iris mempunyai pigmen melanin yang menentukan warna bagi mata. Bagi orang yang berkulit putih, warna mata adalah biru kerana pigmen gelap pada bahagian iris posterior kelihatan biru. Sebaliknya bagi mereka yang berkulit gelap atau hitam, terdapat banyak pigmen yang termendap pada lapisan anterior dan stroma, menyebabkan warna iris bertukar menjadi kelabu. Sekiranya terdapat lebih banyak pigmen, iris akan kelihatan coklat. Mereka yang tidak mempunyai pigmen adalah penghidap albinism. Bagi individu yang menghidap albinism, mata mereka kelihatan merah jambu kerana darah di dalam salur darah koroid dapat dilihat.
    
      Iris juga terdiri daripada otot-otot sirkurlar dan radial yang terdapat pada pupil( anak mata). Otot ini berfungsi mengawal saiz anak mata di mana iris boleh membesar dan mengecil supaya kuantiti cahaya yang masuk ke dalam mata dapat dikawal. Kuantiti cahaya yang mencukupi diperlukan supaya ketajaman penglihatan terhasil.

Tunik Dalam ( Lapisan Ketiga )

Retina
Lapisan ini terdiri daripada lapisan retina yang bersaraf ( nervous tunic ). Retina merupakan struktur yang penting kerana lapisan tersebut mengandungi banyak saraf yang berhubung dengan sel-sel penglihatan yang peka kepada cahaya. Imej yang terfokus di retina aka dihantar dalam bentuk impuls elektrik ke bahagian penglihatan pada otak ( korteks cerebral ) oleh saraf optik. Retina mempunyai sel-sel penglihatan yang penting iaitu sel rod dan sel kon. Kedua-dua sel ini sangat peka kepada cahaya. Sel rod merupakan reseptor ( penerima ) untuk penglihatan waktu malam atau gelap ( penglihatan skotoptik ). Sel konpula sensitif terhadap cahaya pada waktu siang atau terang ( penglihatan fotopik ). Selain itu, sel kon juga bertanggungjawab terhadap penglihatan warna. Di bahagian tengah retina terdapa macula dan fovea iaitu bahagian yang amat sensitif untuk ketajaman penglihatan. Di samping itu, terdapat satu bahagian pada retina yang dipanggil titik buta iaitu bahgian yang langsung tidak mengandungi sel kon dan sel rod. Jika cahaya terfokus pada bahagian ini, sebarang imej tidak akan terbentuk. Bahagian ini merupakan tempat keluarnya saraf optik.

Struktur Lain

Kelopak Mata
Kelopak mata mempunyai kemampuan untuk terbuka dan tertutup. Kelopak mata akan menutup setiap 16 detik untuk membasahi mata supaya tidak menjadi kering. Mata akan menjadi kering sekiranya tidak tertutup untuk beberapa lama. Kelopak mata berfungsi melindungi mata dengan menutup mata secara automatik apabila benda tajam, angin terlalu kuat, cahaya terlalu terang, peluh atau benda asing kecil yang tekena bulu mata maka kelopak mata secara tidak sedar akan menutup mata dengan serta-merta. Pada keadaan tertentu kelopak mata sentiasa tertutup seperti ketika sakit atau keadaan tidak sedar. Kerdipan mata yang bertujuan membasahi mata menyebabkan kelopak mataakan tertutup dan terbuka. Kerdipan ini mengelakkan kekeringan mata supaya mata tidak rosak.

Glemaca ( Vitreous Gel )
Vitreous gel merupakan jisim separuh pepejal. Ia bersifat lembut, mengandungi bahan gelatin  yang berkaca tanpa warna yang mengisi  4/5 bahagian rongga bola mata. Cairan ini berfungsi memelihara bola mata supaya mempunyai bentuk bulat dan tetap. Badan kaca ini bersifat bening yang lut sinar dan membolehkan cahaya menembusinya. Jika berlaku kekeruhan seperti pendarahan, cahaya aka terhalang dan menyebabkan keupayaan penglihatan terjejas.

Kanta
Kanta kristilan merupakan struktur lut sinar yang bersifat kenyal dan tidak mengandungi salur darah. Kanta ini berbentuk cembung ( biconcave ) dan dibungkus oleh kapsul elastik dan berkaca. Lengkungan permukaan kanta berubah mengikut umur iaitu berbentuk sfera ketika bayi, berbentuk sederhana cembung setelah remaja dan menjadi nipis ketika tua.
      Kanta berfungsi memfokuskan cahaya yang masuk ke dalam mata ke bahagian retina. Kanta akan mengubah bentuknya bergantung kepada jarak objek yang dilihat melalui proses akomodasi. Sekiranya objek yang dilihat berada pada jarak dekat, bentuk kanta adalah cembung, manakala objek yang berada pada kedudukan yang jauh menyebabkan bentuk kanta lebih cekung. Kekenyalan kanta akan berkurangan mengikut peningkatan usia. Pada usia 40 tahun ke atas, kanta tidak lagi elastik dan tidak membolehkan proses akomodasi berlaku. Keadaan ini menyebabkan berlakunya rabun yang dipanggil presbiopia.

Pupil ( Anak Mata )
Anak mata atau pupil merupakan lubang yang terdapat pada selaput iris. Pupil membolehkan cahaya masuk ke dalam bola mata secara refleks. Saiz anak mata berubah mengikut keadaan gelap dan terang di mana pupil ini berperanan seperti diafgram sebuah kamera. Jika cahaya terlalu kuat maka penglihatan akan menjadi silau. Ini mengakibatkan pupil mengecil supaya cahaya yang masuk ke dalam mata tidak terlalu banyak. Sekiranya kuantiti cahaya yang masuk ke dalam mata terlalu banyak, kerosakan mata akan berlaku. Dalam keadaan yang gelap atau kurang cahaya, pupil akan menjadi lebar kerana kuantiti cahay yang banyak diperlukan untuk melihat dengan jelas. Tindakan pupil mengecil dan melebar adalah tindakan spontan yang automatik.

Lakrimal Apparatus
Bahagian ini terdiri daripada kelenjar lakrimal, salur lakrimal dan pundi lakrimal. Fungsi utamanya ialah untuk menghasilkan air mata. Air mata yang dikeluarkan mengandungi enzim yang dikenali sebagai lysozyme yang berfungsi melawan jangkitan bakteria yang cuba memasuki mata. Fungsi air mata juga adalah untuk membasahi permukaan optikal supaya kornea dapat berfungsi dantidak mudah kering serta memudahkan pergerakan kelopak mata.

Otot Mata
Ada enam otot mata yang berfungsi memegang sklera. Empat di antaranya disebut otot rektus ( rektus inferior, rektus superior, rektus eksternal, dan rektus internal ). Otot rektus berfungsi menggerakkan bola mata ke kanan, ke kiri, ke atas dan ke bawah. Dua otot lagi ialah otot obliq atas ( superior ) dan otot obliq bawah ( inferior ). Sekiranya berlaku kerosakan pada otot mata atau otot tidak berfungsi dengan sempurna, individu tersebut akan mengalami juling di mana bola mata akan bebas bergerak tanpa kawalan. Kejadian ini mengganggu proses memfokus objek dengan tepat supaya imej yang terhasil jelas.

Saraf Optik
Saraf optik merupakan kumpulan saraf yang bersambung ke otak. Saraf optik adalah saraf cranial. Dua saraf optik bertemu dan membentuk ‘optic chiasma’ di bahagian otak. Ia menyalurkan maklumat penglihatan daripada mata ke otak. Fiber optik bermula daripada lapisan retina dan kemudian berkumpul di bahagian belakang mata. Ia menembusi lapisan sklera dan keluar daripada biji mata sebagai saraf optik.

Sunday, 17 November 2013

PENGENALAN KEPADA MASALAH PENGLIHATAN














Definisi masalah penglihatan dari segi pendidikan bermaksud sekumpulan kanak-kanak yang memerlukan pendidikan khas kerana masalah penglihatan. Kaedah penyampaian pembelajaran dan bahan bantu mengajar perlu diadaptasikan dengan keperluan kanak-kanak ini supaya dapat mengoptimakan pembelajaran dan pencapaian mereka.

Murid-murid di program ini juga mengikuti pelajaran yang sama seperti diikuti oleh murid normal. Yang berbeza adalah kaedahnya, di mana murid-murid ini didedahkan kepada penggunaan bahan cetak yang dibesarkan saiz tulisannya bagi yang rabun manakala bagi yang buta mereka akan diajar menggunakan Braille. Program ini juga disediakan dalam dua jenis iaitu sekolah khas dan di sekolah biasa (bagi program integrasi)

Kanak-kanak ini memerlukan kurikulum khas yang khusus dan kaedah pengajaran yang sesuai dengan ketidakupayaan mereka. Masa mereka di sekolah adalah masa yang amat berharga yang perlu digunakan sepenuhnya  untuk meminimumkan kesan kecacatan terhadap keupayaan mereka.

KLASIFIKASI LOW VISION DAN BLIND MENGIKUT UKURAN KETAJAMAN PENGLIHATAN DAN AKUITI VISUAL.

Terdapat dua kategori utama dalam masalah penglihatan iaitu buta dan rabun warna ataupun disebut penglihatan terhad ( low vision). Pertubuhan kesihatan dunia (WHO) mendefinisikan kedua-dua kategori di atas sebagai:

  • Kebutaan: 
      Penglihatan kurang daripada 3/60, pada mata yang terbaik ataupun medan penglihatan kurang daripada 10 darjah setelah menerima rawatan ataupun pembetulan biasa (refractive)

  • Rabun ataupun penglihatan terhad (low vision):

      Penglihatan kurang dari 6/18 sehingga persepsi cahaya pada mata yang terbaik ataupun medan penglihatan kurang daripada 10 darjah sesudah rawatan ataupun pembetulan biasa (refractive). Individu dengan penglihatan terhad dapat melakukan tugas seharian menggunakan deria penglihatan.

Terdapat beberapa tahap masalah penglihatan yang membezakan antara buta dengan penglihatan terhad ataupun low vision berdasarkan ujian visual akuiti dan juga adaptasi pendidikan khas. Masalah penglihatan dapat di lihat dalam tahap berikut:

  • Sederhana
      Masalah pada tahap sederhana masih membolehkan kanak-kanak melihat cahaya dan menjalankan aktiviti melibatkan deria penglihatan dengan menggunakan alat Bantu khas seperti kanta.
  • Teruk
      Masalah pada tahap teruk menyebabkan kanak-kanak mungkin memerlukan lebih banyak masa dan tenaga dalam menjalankan aktiviti malah mengalami kesukaran melakukan aktiviti berkaitan penglihatan termasuk mobiliti, walaupun dengan bantuan alat khas.

  • Sangat teruk
      Masalah pada tahap sangat teruk mengakibatkan kanak-kanak menghadapi kesukaran melakukan aktiviti visual seperti membaca dan mobiliti serta perlu bergantung pada deria-deria lain.

Di bawah ini adalah pandangan mata oleh seseorang yang mempunyai masalah penglihatan :